U n Uols

Jumaat, Mei 18, 2012

Bab 12: Hati Bertanya Siapa Kamu

Hujung bibir di gigit-gigit. Mata dikecil besarkan melihat sesusuk tubuh yang berjalan di sisi. Sesekali menguman sendiri. Marah. Lelaki di sebelahnya memang muka tembok! Orang tak nak bawa dia datang pasar malam, tetap ikut juga.

“ Awak nak beli apa?” Tanya Gibran. Menoleh Dayang di sisi.

“ Saya tak nak beli apa-apa. Nak balik!” Jawab Dayang. Hilang minat untuk membeli apa-apa. Gibran yang menempel di sisinya sejak dari rumah sehingga ke pasar malam ini merimaskannya. Intan dan Che Peah tak ikut bersama. Main pesan-pesan sahaja bila tahu Gibran dah ada untuk menemaninya. Tadi Intan dan Che Peah dah siap berpakaian, tiba-tiba tak jadi nak pergi. Macam-macam alasan mereka. Kacau daunlah, sakit perutlah, sakit matalah. Pergi berdua cukuplah. Ramai-ramai nanti sesak pula pasar malam. Pirah!

“ Nak balik dah? Baru je sampai kan…..hari tu beria-ia cakap nak dating dengan Gib…dah ada peluang nak balik pulak…”

“ Bila masa saya cakap nak dating dengan awak?” Gibran ni lain macam benar. Pagi semalam elok bersaya-saya, masuk ke malam dah tukar jadi Gib. Hampir ke tengah malam pula hantar bunga dan kad. Hari ni pula bercakap bisik-bisik di telinganya. Berdiri bulu roma! Lepas ni entah apa lagi lelaki ni nak surpriseskannya….

Ayat-ayat yang ditulis Gibran pada kad itu sudah terhafal oleh otaknya. Tambahan lagi diulang baca kuat-kuat oleh Intan dan Che Peah sebelum ke tempat kerja pagi ini. Malu dan segan dengan manusia berdua itu tak payah cakaplah. Segunung! Selautan!

Ikut perasaan nak pergi sebunyikan diri bawah katil! Cuma yang menghalang niat itu sebab perlu ke tempat kerja. Jika tak, awal-awal dia dah buat begitu. Che Peah dan Intan bergabung menyakat, haruslah dia yang keseorangan ini terkontang-kanting dibuli.
“ Hari tu Dayang cakap, nak dating…”

“ Bukan dengan awaklah! Dengan orang-orang yang berniaga dekat sini. Perasan!” Betul ke di ada cakap macam tu? Ke sebenarnya ada? Bila masa ya? Blur sekejap…

Menyiku lengan Dayang. Nakal sengih yang dilempar untuk tatapan Dayang. “ Dating dengan Gib jelah…” Tertipu dengan Dayang dah. Isterinya memang pakar buat gempak. Patutnya Dayang cari tempat bertemu janji yang romantik sikit. Bolehlah…

“ Apa ni?!” Marah. Menyapu-yapu lengan.

“ Ambik kesempatan sikit…bukan dengan orang lain pun” Berkata perlahan. Hanya untuk pendengaran sendiri.

“ Apa?” Soal Dayang. Dia dengar hujung kata-kata Gibran. Bukan orang lain? Ingat dia siapa?

“ Apa?” Muka tak bersalah. Dia rasa selesa nak bermesra-mesra dengan Dayang sejak memberi bayangan isi hatinya di dalam kad yang dikirim. Rasanya Dayang juga dah faham, tapi buat-buat tak faham. Ura-ura nak mengelak daripadanya dah jelas sangat. Pergi kerja pagi ni tak tunggunya. Padahal dia dah mesej suruh tunggu sebab, jemput Dayang lambat sikit hari ini. Sampai rumah Dayang, tak ada sesiapa lagi. Bila telefon, Dayang cakap dah sampai pejabat. Nak elakkan dirilah tu. Elakkan diri cara macam tu, kira okay lagi. Mujur tak lari pindah duduk rumah sewa lain! Dia dah bimbang sebenarnya….

Teringat peristiwa pagi ini. Despatchnya Epik, awal-awal pagi lagi dah ketuk pintu bilik pejabatnya. Tak pernah-pernah sebelum ini. Rupa-rupanya nak buat tuntutan kerja lebih masa sebab dikerah hantarkan bunga untuk Dayang. Kata budak tu, akak yang terima bunga bagi nasihat. Sempat lagi Dayang jadi konsultan percuma!

Dayang mencebik. Jeling sampai mata hampir terbalik. Berjalan pantas ke depan. Meninggalkan Gibran di belakang. Sakit hati dengan lelaki itu. Gibran menyaingi. Menapak dua langkah dah sampai sebelah Dayang balik.

“ Kita beli apam balik nak?”

“ Belilah sendiri…”

“ Dayang tunjukkanlah…Gib mana biasa dengan pasar malam kat sini…kalau sesat macam mana?”

Dayang jeling lagi. Ingat ini hutan belantara ala amazon ke nak sesat segala? Kalau yang bercakap tu budak kecil boleh juga diterima. Ini dah taraf bapak budak!

Please…” Dayang masih tegak tak bergerak di tengah-tengah manusia yang ramai itu.

Please…..” Merayu lagi. Jadi patung cendana dah Dayang. Tegak bisu.

“ Tak dapat tu, kempunanlah….kalau terjadi apa-apa dekat Gib tapi tak sempat merasa apam balik, jangan Dayang sesal tak sudah….” Berbelas kasihan. Dayang belum kenal siapa suami dia.........

Pandang Gibran. Dengar Gibran cakap macam tu terasa luluh hati. Betul-betul jadi seperti apa yang dikatakan lelaki itu, memang sesal sampai akhir hayat. Mesti akan rasa tersangkut punya. Dia minta tunjukkan je, bukan susah pun…

“ Yelah….yelah…saya temankan! Tapi ada satu syarat.”

“ Buat baik kena ikhlas…”

“ Pergi sendiri!” Berpusing untuk berpatah balik.

“ Dayang….Dayang! Okay…okay Gib ikut. Apa syaratnya?”

“ Lepas beli apa yang awak nak, kita balik? Boleh?”

“ Tak nak jalan-jalan dulu…ambik angin? Cuci mata? Dating-dating lama sikit? ” Lihat Dayang yang mencelik mata besar-besar, Gibran angkat tangan. “ Okay…okay kita balik…” Cuci mata? Yang nak cuci mata sebenarnya dia. Bukan nak cuci mata tengok pengunjung pasar malam yang berpusu-pusu ni. Dia nak cuci mata tengok Dayang!

Langkah Dayang yang sudah mendahului disusuli. Selepas membeli apam balik, dia bagi alasan nak beli benda lain lagi. Mula tu, Dayang membebel marah juga. Bila dah bergerak dari satu gerai ke satu ke gerai lain, Dayang lupa dengan syarat sendiri. Lupa pasal nak balik. Sedar-sedar dah penuh satu tangan mereka borong!

Dah penuh semua tangan, dia pula yang terpaksa ajak Dayang balik. Dah bertukar! Dia terpaksa ajak Dayang balik bukan apa, tak tahan mendengar dan melihat Dayang bertegur sapa dengan penjual-penjual sambil diberi gelaran adik manis! Dayang senyum-senyum suka, dia ketat-ketat muka!

Dayang nak lari sangat kan? Minggu depan, asal hari Sabtu je dia akan bawa Dayang lari. Biar tak ada peluang lagi jejak pasar malam tu!

“ Gib balik dulu…” Menyerahkan plastik makanan yang penuh satu tangan kepada Dayang. Mereka di hadapan rumah gadis itu.

“ Kenapa bagi saya semua?”

“ Gib beli untuk Dayang. Esok Gib jemput Dayang? Pukul 10 pagi?”

“ Jemput? Nak pergi mana? Ada saya kata nak ikut?”

“ Tak nak ikut?”

Dayang geleng.

“ Gib tunggu depan rumah ni sampai Dayang keluar!” Serius.

“ Tunggulah sampai berjanggut, saya tetap tak nak ikut!” Buka pintu gopoh-gapah. Masuk ke dalam rumah meninggalkan Gibran sendiri. Protes. Setengah saat pintu rumah terbuka kembali.

“ Nah! Awak punya apam balik. Pergi balik!” Dihulurkan kepada Gibran.

Sambut. Ingat juga, mesti takut dia kempunan...“ Jangan lupa. Esok pagi, pukul 10…”

“ Hilang ingatan!”

DUDUK bersimpuh di lantai bilik yang dihampar karpet nipis. Belakang badan bersandar ke birai katil. Merehat-rehat diri selepas penat berjalan. Hasil borongannya sedang selamat dikerjakan dua orang sahabatnya. Membuka laci meja berhampiran katil. Kad kecil yang ditulis Gibran dikeluarkan. Lama matanya terlekat di situ. Lalu dibuka dan dibaca.

My heart is in pain…
the beautiful pain…
because it carved your name…..
DAYANG

Menongkat kepala dengan lengan. Orang lain mungkin terasa seperti terbang ke langit apabila menerima kata-kata indah daripada seorang lelaki. Tubuhnya pula terasa seperti dikebumi! Dia serba salah menerima semua itu. Suara hati dan otak waras tak sekata. Hati menguntum suka, otak sibuk menolak! Dua rasa yang bertentangan yang memeningkan kepala….

Mengeluh kecil. Rasa suka kerana terima ucapan indah itu normal. Mungkinkah? Betulkah? Dan suka itu tidak semestinya suka yang sama ertinya sama dengan jatuh cinta. Dayang, tenang-tenang saja. Jaga diri, jaga peribadi. Menyedapkan hati sendiri. Tulisan tangan Gibran diulang baca lagi.

My heart is in pain…the beautiful pain…because it carved your name…..’ Berdasarkan ayat yang ditulis dan cara layanan Gibran ketika bersamanya, dia menyimpulkan Gibran memang sakit. Sakit angau! Erk…!?

Bahagia! Itulah yang dirasakan Gibran sekarang. Senyum senang tak lekang dari bibir sejak meninggalkan perkarangan flat Dayang. Bersama Dayang jiwanya hidup. Perasaannya berbunga-bunga. Dia memandu tenang, setenang perasaannya.

Ketenangan sedikit terganggu apabila telefonnya berbunyi memecah sepi. Earphone dipasang ke telinga. Panggilan dijawab.

“ Ya?”

“ Nak balik? Bila?”

“ Ya…ya..okay…” Selesai berbicara talian diputuskan. Nak balik? Memikirkan orang yang bakal tiba ke tanahair ke dalam masa terdekat ini, hati yang tenang mula berkocak…


Untuk versi penuh dapatkan novel Hati Bertanya Siapa Kamu di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari http://www.karyaseni.my/ untuk pembelian secara online.

6 ulasan :

  1. urh..sapa eh?suspennya?

    BalasPadam
  2. huhu...jgn kata gibran dh kawin sblm ni.

    ~nor..

    BalasPadam
  3. mesti mak mentua Dayang.Kan3x????

    BalasPadam
  4. xsyak lg mak gib yg blk.

    BalasPadam
  5. rasa pun mak dia nak balik...

    BalasPadam
  6. mak dia balik... mesti kecoh klu tau mnantu dia larikan diri..

    BalasPadam