“Maaf akak, Min tak dapat nak tolong!” Tegas Min.
“Min…tolonglah Kak Tina. Kali ni je..” Rayu Tina. Kakak
Min.
“Takkan lah Min nak
tinggal di rumah mentua akak tu. Min ada rumah. Pertolongan yang akak minta ni
tak logik!” Kata Min tidak puas hati. Mulut sudah memuncung sedepa. Sebal
dengan si kakak. Permintaan kakaknya tidak masuk dek akal. Dalam banyak-banyak
perkara yang boleh diminta di dunia ini, itu yang dimahukan. Dia diminta supaya
tinggal di rumah mentua si kakak atas permintaan anak buahnya. Bukankah memang
patut jika dia berkeras menolak permintaan itu. Kalau rumah mentuanya lainlah,
ini tidak..
“Kalau nak Min tolong
juga, bawa je Raykal ke sini!”
“Min kerja, siapa nak
jaga Raykal waktu petang?” Balas Tina kemudiannya.
“Tau pun Min kerja. Jadi
Min tak boleh jagakan Raykal..” Nada Min tidak setegas tadi.
“Boleh kalau di rumah
mentua akak. Pagi Raykal sekolah, petang umi Abang Sufian ada. Umi boleh
tengokkan Raykal.”
“Habis tu, buat apa lagi
perlukan Min?”
“Raykal yang minta. Raykal
nak Min ada bersama dengan dia waktu Kak Tina dengan Abang Sufian ke luar
negara nanti. Raykal nak Min temankan dia di rumah kami.”
“Mana boleh!”
“Min..”
“Beritahu Raykal, pilih
antara dua. Tinggal di rumah Min atau lupakan saja permintaan dia!” Putus Min. Kalau
Raykal yang nak bersama-sama dengannya, anak buah itu yang perlu datang ke
rumah ini. Bukan dia yang perlu tinggal di rumah mereka yang juga kediaman
mentua Kak Tina.
“Cuba Min fikir, waktu
petang macam mana pula?” Soal Tina.
“Sekolah Raykal boleh
jaga sampai petang, kan? Balik kerja Min ambil Raykal. Kalau akak tak nak
Raykal sekolah sampai petang, biar auntie atau uncle ambil dulu. Balik kerja
Min singgah di rumah dia orang, lepas tu bawa Raykal balik ke rumah Min. Habis
cerita. Tak payah sampai pindah-pindah rumah.” Mengutarakan cadangannya yang
dikira terbaik untuk situasi ini.
Bibir mulut dikejap rapat.
Tina tarik nafas dalam. Min ni degil betul. Desis Tina dalam hati. Sama-sama
degil dengan si Raykal tu. Dia dan suami perlu ke luar negara kerana urusan
kerja selama dua bulan. Raykal pula tak sudi mengikut mereka. Alasan anak kecil
berusia 5 tahun itu ..
“Raykal tak nak ikut papa dan mama kerja oversea,
sebab Raykal tak nak tinggal kawan-kawan dekat sekolah.”
Andai dia dan suami tetap
ingin berangkat ke luar negara, mereka perlu tunaikan permintaan si anak.
Mengenangkan permintaan yang dikenakan Raykal buat dia pening..
“Raykal nak mama suruh
Chik Min ganti mama jaga Raykal. Chik Min dengan mama je yang pandai buat
sarapan yang sedap tu untuk Raykal. Nenek tak tahu buat. Opah lagilah tak
pandai.”
“Tapi Raykal tak nak tinggal dekat rumah Chik
Min. Tak ada kolam renang. Hah, macam mana kalau Raykal nak berenang
waktu petang? Mama suruhlah Chik Min tinggal dekat sini. Bila mama dengan
papa dah balik, Chik Min boleh balik rumah dia… masa tu Raykal tak kisah
dah kalau Chik Min tak ada sebab mama dah balik.”
“Kalau mama tak buat apa yang Raykal cakap, mama
dengan papa tak boleh pergi kerja dekat oversea!”
Itulah syarat-syarat muktamad
daripada budak Raykal. Cukup mudah pada hemah si kecil itu. Suaminya Sufian
yang turut mendengar syarat-syarat tersebut, cuma mampu menggeleng. Akhirnya
dia yang perlu bersusah payah tawar menawar dengan Raykal. Tapi tidak berjaya.
Semuanya menemui kegagalan. Termasuk hari ini, sudah tiga hari dia melancarkan
kempen memujuk Raykal. Belikan mainan, bawa keluar jalan-jalan dan singgah ke
restoran ayam kegemaran si anak, telah diusahakan. Setelah gagal dengan Raykal,
Tina cuba pula tawar menawar dengan Min.
Tapi nampaknya proses
tawar menawar ini seperti tidak berjaya. Getus Tuna dalam hati. Lantas dia memainkan
peranan, memulakan lakonan airmata.
“Tak apalah kalau Min
tak dapat tolong akak. Agaknya Min dah tak sayang akak dah….” Sayu Tina
menuturkan. Mata bertakung air dengan air jernih. Akan mengalir menuruni pipi
pada bila-bila masa.
Min serba salah. Berkira-kira
dalam hati. Setuju ke tak setuju? Kenapalah dia harus tersepit di tengah-tengah
permintaan yang payah dan susah untuk ditunaikan. Dia bukan jenis manusia yang
loket untuk menghulur bantuan, cuma hatinya terasa tidak tenang untuk tinggal
di rumah orang. Dia bukan rapat sangat dengan mentua Kak Tina tu. Haru…haru..
“Kalau bukan kerana
projek penting di Australia tu, akak dan abang tak pergi tau. Ini memang dah
tak boleh dielakkan. Kena tunggu juga dekat sana sampai selesai.” Aimata Tina
dah menuruni pipinya.
Min cuak melihat airmata
Tina yang mengalir. Duduknya mula tidak kena. Berkalih ke kiri terasa keras. Berkalih
ke kanan terasa mencucuk. Tangan pula naik mengaru kepala. Namun mulut masih
berat untuk menyatakan persetujuan. Lidah seakan-akan tidak merelakan patah
perkatan persetujuan ditutur keluar dari dua ulas bibirnya. Geram pula dengan
anak buah yang banyak mulut dan karenah tu. Umur baru 5 tahun tapi bercakap
macam orang dewasa. Raykal…Raykal, kenapa libatkan Chik Min dalam cerita ini?!
“Agaknya Raykal pun Min
dah tak sayang…” Tambah Tina lagi sambil tangannya menyapu airmata di pipi.
Beria-ia airmata yang keluar. Habis tertanggal mekap cantiknya pagi ini. Tentu
wajah yang terhidang di hadapan si adik comot seperti momok!
Lama Min terdiam. Menimbang-nimbang
keputusan yang perlu dibuat. Dia tidak patut mementingkan diri sendiri. Jika
bukan kepadanya, pada siapa lagi Kak Tina mahu meminta pertolongan? Takkan adik
tak boleh tolong kakak? Lagipun bukannya lama, sebulan atau dua bulan sahaja.
“Yalah-yalah…. Min
tolong akak. Buruk betul orang tua menangis.” Min capai kotak tisu atas meja di
hadapannya. Dihulur kepada Tina.
“Sayang Min! Jasamu dik,
akan akak kenang sampai bila-bila.” Tina berkata dengan senyuman lebar. Kedua-dua
belah tangannya naik meraih bahu Min. Dipeluk si adik erat-erat. Senang hatinya
kerana misi berjaya.
Beberapa saat kemudian
pelukan dilepaskan. Tina segera capai beg tangannya lalu bangkit. Dia berdiri
dengan penuh semangat. Lagak dan gayanya seperti babak airmata tidak pernah
berlangsung.
“Akak nak pergi mana
ni?” Soal Min hairan. Dia ikut bangun.
“Baliklah, misi dah
berjaya. Min tak payah hantar Kak Tina ke pintu. Rehat dan simpan tenaga untuk
jaga Raykal nanti.” Ujar Tina tersenyum ceria. Mata dikenyit buat tatapan Min.
Min hanya mampu
mengeleng-gelengkan kepala. Lambaian selamat tinggal Tina tidak terbalas. Pemergian
kakaknya sekadar dihantar dengan pandangan mata, tanda dia tidak puas hati.
Dalam hati dia membebel
sendiri. Perangai tidak pernah berubah. Patutlah pagi-pagi sabtu ini sudah
tercongak di hadapan pintu rumahnya. Datang pula bukan dengan tangan kosong. Tina
datang bersama bekalan barangan dapur untuk sebulan! Rupa-rupanya ada udang di
sebalik batu. Kunjungan kakaknya, kunjungan berhajat.
Kak Tina ni sebenarnya
jenis yang penyayang. Cuma bab memujuk dia, Kak Tina memang begitu. Berdrama
kerana sedar adiknya ini pasti akan menolak permintaan yang tidak munasabah
itu.
Andai dia mampu menolak
hari ini, esok atau lusa belum tentu. Wajah berair mata Tina pasti memburunya
sehingga terbawa-bawa ke dalam tidur. Buat dia tidak senang hati dan tidak
senang duduk. Dua atau tiga hari kemudian, dia pasti akan menghubungi Tina
untuk mengubah pendirian. Bukan Tina tidak tahu tindak-tanduknya.
Ada tidak ada, mereka
hanya dua beradik, kenalah saling membantu. Selama ini pun Kak Tina tidak
pernah menolak untuk membantunya apabila dia ditimpa masalah. Tidak lokek
menghulur bantuan.
“Siapa yang datang?” Seri
teman serumah dan juga kawan baik Min yang sedang menuruni tangga bertanya. Dia
seperti terdengar Min bercakap dengan seseorang.
“Dah balik?” ajunya lagi
apabila tidak melihat sesiapa di ruang tamu mereka. Hanya Min seorang yang
duduk termanggu.
“Dah…” Sepatah Min
menjawab.
Seri melabuhkan punggung
di hadapan Min. Pandangannya terarah kepada beberapa beg plastik berhampiran
meja kopi. Sekali pandang dia dapat melihat isi beg plastik itu adalah
barang-barang dapur.
“Bila kau beli barangan
dapur ni,” soal Seri.
“Bukan akulah, tapi Kak Tina
yang belikan. Ini barang rasuah tau.” Jawab Min cuak.
Seri tersengih-sengih. Dah
Kak Tina yang bawa, barang rasuah apanya. Ada-ada sahaja Min ni. Kalau bergini
gayanya, jimat duit belanja dapur mereka selama sebulan.
“Apasal kau
tersengih-sengih ni?”
“Jimat belanja bulan
ni.” Seri mengenyitkan mata.
“Jimat sangatlah,
aku…sengsara…” Bersandar lesu ke belakang.
“Eh..eh..kau ni, Min.
Jimat pun sengsara ke?”
“Kalaulah kau tau,
Seri..” Seraya jemari naik mengurut pelipis. Diserang sakit kepala memikirkan masalah
yang baru melanda diri.
Dia sendiri yang mencari
penyakit, menjebakkan diri dengan permintaan Raykal. Sekarang tak boleh buat
apa lagi. Tunggu masa dan harinya tiba. Berpindahlah dia ke rumah mentua Kak
Tina sebagaimana yang dihajatkan si anak buah...
Untuk versi penuh dapatkan novel Kau Dan Aku di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari www.p2u.my untuk pembelian secara online.
Untuk versi penuh dapatkan novel Kau Dan Aku di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari www.p2u.my untuk pembelian secara online.