U n Uols

Rabu, Mac 02, 2011

KAU DAN AKU BAB 3

Menapak lemah ke meja kerja. Min melabuhkan punggung di kerusi. Tubuh disandar ke belakang. Fikiran dia bercelaru. Jiwa halus terusik dengan pertemuan sebentar tadi. Tatkala mata menatap wajah yang satu itu, kesakitan lalu kembali mencucuk. Nafas dalam dihela agar semua itu dapat diusir pergi..
Mengapa lelaki itu muncul lagi di hadapannya? Apakah kemunculan kali ini untuk menyemarakkan kembali luka lama? Mahu menyakitinya untuk kali kedua? Tidak cukup lagikah kesakitan yang dihadiahkan dulu? Sekadar untuk menjadi kawan biasa sahaja dia tak lagi sudi. Bertegur sapa atas dasar kenalan lama apatah lagi.
Cukup hanya sekali dia menyambut huluran salam perkenalan dari lelaki itu. Tidak untuk kali kedua. Di luar kawalan, fikirannya melayang. Terkenang pada peristiwa lalu. Kenangan sewaktu masih menuntut di universiti. Bibit-bibit awal sebuah kisah yang menjadi sejarah hari ini…

Lima tahun lalu
“Maaf…saya tak dapat terima awak.” Tegas Min sewaktu berhadapan dengan seorang jejaka yang baru dikenalinya.
Jika bukan kerana terpaksa, tentu sahaja dia mengelakkan diri daripada pertemuan seperti ini. Bukan dia suka sangat diletakkan dalam situasi sekarang. Sudahlah berada di hadapan dewan kuliah. Pelajar-pelajar yang lalu lalang asyik mengerling ke arah mereka. Yalah, mana pernah mereka melihat Min Nur Kesha bertemu janji. Biasanya, paling tidak pun Seri ada sekali. Saat ini Seri awal-awal lagi sudah lesap. Ke mana sahajalah kawannya itu melenyapkan diri dalam keadaan terdesak ini. Alih-alih hari ini mereka ditayangkan dengan wayang cintanya di hadapan dewan kuliah.
“Saya bukan nak awak terima saya. Tapi terima kasih saya, please….” Rayu lelaki itu sambil memegang sejambak bunga. Bijak memanipulasikan ayat. Lagak dan gaya nampak bersungguh. Penolakkannya sebentar tadi seperti tiada sebarang kesan ke atas lelaki ini.
Darah naik berderau. Mukanya sudah merah menahan malu dan marah. Dia memandang sekeliling, drama sebabak itu sudah berjaya mengumpul menonton. Di mana hendak disorokkan mukanya? Semua ini perlu dihentikan! Lelaki ini perlu segera dijauhkan dari hidupnya.
“Luth Qadri….okey…okey. Kalau awak boleh beredar dari sini dalam masa lima saat, saya akan pertimbangan semula keputusan saya. Tapi…tapi tolong, jangan malukan saya macam ni..” Kata Min cuba untuk berdiplomasi.
Rasa hendak menangis pun ada. Jejaka yang menaruh hati kepadanya ini sungguh beria. Dari hari mula-mula bersua sehinggalah sekarang, tidak jemu-jemu memikatya. Bersemangat waja memburu kasih. Meluahkan entah berbakul-bakul kata cinta berserta berdozen-dozen bunga. Namun, semuanya tidak berhasil. Dia tiada keinginan untuk menyambut cinta mamat gila bayang ini. Dia sendiri tidak pasti apa kesitimewaan yang ada pada dirinya sehingga lelaki ini jatuh cinta tergolek-golek.
“Betul ni? You tak tipu?” Soal jejaka yang dipanggil Luth Qadri itu.
Laju Min mengangguk. Lagi cepat Luth Qadri berlalu adalah lebih baik. Kulit mukanya sudah tidak sanggup menahan pandangan teman-teman sekuliah yang menjadi penonton aksi yang cukup memalukan ini. Pipinya panas berbahang dipalit segan. Tidak terpandang senyum nakal mereka dek matanya. Jika diambil ukuran, kulit mukanya mungkin sama tebal dengan batu-bata yang mengelilingi bunga depan dewan kuliah ini!
“Erm….I call you tonight?
Dia angguk lagi. Setuju.
“Kalau you tak jawab?”
I.. I akan jawab!”
“Janji?” Soal Luth Qadri inginkan kepastian. Sekali lagi Min menganggukkan kepalanya. Bersungguh-sungguh seperti burung belatuk. Luth Qadri senyum lebar. Dia pegang janji Min. Jika janji itu tidak dikotakan, gadis ini akan dicari sampai dapat. 
 “Janji!” 
Okay, I'll leave you.” Melihat anggukkan Min yang beria-ia, akhirnya dia bersetuju untuk berlalu.
Malamnya lelaki itu menghubungi dia. Disambut sebagaimana yang dijanjikan. Tidak seperti biasa yang hanya dibiarkan bordering dan berdering sehingga pemanggilnya lelah. Siapa sangka panggilan yang berjawab itu menjadi detik yang membuka ruang dan peluang buat lelaki yang bernama Luth Qadri itu. Meletakkan mereka ke dalam satu hubungan. Namun, peluang hadir tidak dihargai, dipersia-sia Luth Qadri…
“Hah! Baguslah mengelamun sorang-sorang. Dah aku ditinggalnya dekat kedai makan macam tu je.” Suara leteran Aida memecah lamunan Min. Kedengaran nada Aida seperti marahkannya.
Min pandang Aida sekilas. Tangan mengaru kepala. Macam mana hendak diterangkan kepada budak ini? Benak ligat berfikir. Mencari kata-kata yang sesuai untuk dituturkan pada pendengaran Aida. Menceritakan hal sebenar bukan sesuatu yang menjadi pilihannya. Dia tak bersedia. Aida pula pasti mengasak dengan pelbagai soalan selagi tidak diberikan penjelasan. Pendekkan cerita dan reka sahajalah apa-apa alasan munasabah untuk menutup seketika mulut itu.
 “Aku ada hutang dengan orang tadi. Dia ada cakap apa-apa tak?” Kata Min. Memandang Aida tepat.
Dari marah, Aida pamer riak terkejut pula. Matanya terbuka luas, mulutnya terlopong besar.
“Kau berhutang dengan orang tadi?”
“Hmm…”
“Kau biar betul?” 
“Betul,” balas Min sepatah.
“Serius?
“Seriuslah.”
“Tapi, macam….” Meluah syak.
 “Tak percaya sudah!”
“Hmm…” Dompet Min dikeluarkan dari tas tangan merahnya. Diserahkan kepada Min. Sukar untuk mempercayai cerita gadis itu. Tergesa-gesa punya pasal, sampai dompet pun tertinggal.
 “Bukan tak percaya, tapi..”
Dompet bersambut. Disimpan ke dalam laci. Min mencapai pula dokumen dalam in tray. Pura-pura sibuk. Malas melayan soalan-soalan daripada Aida. Didesak dan diasak dia pula yang terlepas cakap.
 “Kerja, kerja, kerja…”  Mempersilakan Aida ke meja sendiri yang terletak di hadapan mejanya.
“Tapi…”
“Tapi, tapi! Tapi apa pula? Dah…dah, Encik Zamri dah masuk tu. Kerja yang dia nak kau belum siapkan.” Min menunjuk ke pintu masuk jabatan mereka. En. Zamri sedang melangkah masuk dengan bergaya.
“Cubalah jadi bekerja yang berdedikasi. Sejuk hati Encik Zamri kalau tengok staf rajin buat kerja. Ini tak, baru je lepas lunch, nak melepak bagai lagi…” Menyambung ceramah demi menutup topik asal yang dibualkan. Terkocoh-kocoh Aida berlalu ke ruangannya, bukan kerana takutkan ketua mereka tetapi dek kerana kerja yang diminta belum disudahkan. Biarpun begitu, memang nampak jelas di wajah Aida riak tak puas hati dengan jawapan yang diterima daripada Min.

PULANG dari pejabat Min membersihkan diri dan bersolat. Hari ini dia tidak memasak kerana awal-awal lagi Seri menawarkan diri untuk melakukan semua tugas itu. Rajinnya datang tanpa diundang. Dia hanya menolong mana-mana yang patut sahaja. Bersemangat Seri memasak apabila barangan dapur cukup lengkap. Tidak sia-sia barang-barang masakan yang dibawa kakaknya. Tiga jenis masakan siap disediakan. Seri memang cekap di dapur. Mereka menghidangkan hasil air tangan Seri bersama-sama.
“Minggu depan kau tinggal seoranglah di rumah ni.” Min memberitahu Seri. Pinggan berisi nasi dihulurkan.
“Kenapa, kau outstation ke?” Soal Seri. Memandang Min yang sedang berdiri di hujung meja. Menyambut pinggan yang dihulur Min.
“Tak.” Kerusi ditarik perlahan. Melabuh  duduk bertentangan dengan Seri. Menuang air ke gelas.  
“Habis tu?” Seri menceduk kuah ke pinggan nasi.
“Kak Tina minta aku teman Raykal dekat rumah mentua dia. Kak Tina dan Abang Sufian yang outstation.”
“Oh…macam tu.”
 “Hmm.. Bukan sehari dua tau….” Maklum Min.
“Berapa hari?”
“Lebih kurang 2 bulan.” Terang Min.
What?! Habis takkan aku tinggal sorang-sorang selama dua bulan?” Seri terkejut.
Min angguk sahaja.
“Apasal tak bawa je Raykal datang rumah kita? Lagipun takkan kau nak tinggal di rumah mentua Kak Tina kot.” Kata Seri panjang lebar.
“Itu la sebabnya….aku serba salah ni. Aku bukannya rapat dengan mentua Kak Tina. Tapi si Raykal pula buat hal, nak aku teman dia dekat sana. Nak tolak, aku tak sampai hati tengok Kak Tina menangis-nangis minta tolong.”
“Pasal tu Kak Tina datang hari tu?” Aju Seri.
“Aah…” Beberapa saat ditemani sepi.
“Erm…kau ikut aku nak?” Min mengutarakan pendapatnya.
“Gila! Tak naklah. Aku bukan kenal dengan dia orang.” Bantah Seri. Tak masuk akal ajakan Min itu.
“Ala…tolonglah aku…please…kalau kau ada, tak adalah aku segan sangat.” Rayu Min.
 “Merepek je. Segan tau. Tinggal di rumah orang…tak bebas macam dekat rumah sendiri. Aku ni, tak ada kena mengena dengan keluarga kau orang. Lagi segan. Bergunung-ganang segan daripada kau tau.. ” Kata Seri.
Min mencebirkan bibirnya. Dia punya segan bergunung-ganang juga. Memikirkan terpaksa menghabiskan masa selama dua bulan di rumah mewah keluarga mentua Kak Tina, selera makan tertutup lagi. Suasana antara mereka kembali sepi.
Mengaul-gaul nasi di pinggan. Tidak pula dibawa ke mulut. Tiba-tiba dia teringat peristiwa siang tadi. Terasa mahu berkongsi cerita itu dengan Seri. 
“Aku terserempak dengan Qadri siang tadi.”
Seri yang sedang menyisip air kosong tersedak. Laju otak menyenaraikan tuan punya badan yang diperkatakan Min.
You mean Qadri…Luth Qadri?” Tanya Seri terkejut. Setelah sekian lama, nama yang satu itu muncul lagi di bibir Min.
“Dia laa…”
“Kau tegur dia?”
Min geleng.
“Kau pandang dia je?”
Min geleng juga.
“Dia pandang kau je?”
Min geleng lagi.
“Dia tegur kau?”  Soal Seri tak putus asa.
Min mengangguk, mengiyakan seraya terlepas keluhan berat di bibir…
OMG!”

Untuk versi penuh dapatkan novel Kau Dan Aku di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga layari www.p2u.my untuk pembelian secara online.

Tiada ulasan :

Catat Ulasan